JMC perjelaskan masalah
Sinar Harian – 29 Julai 2009
DAMANSARA – Pihak Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) Apartmen Flora Damansara dan pihak pengurusan Pama Services bersedia menyelesaikan masalah jika penduduk dapat memberikan kerjasama.
Pemangku Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Flora Damansara, Maulviridha Abu Bakar ketika mengulas megenai masalah yang dihadapi penduduk dan JMC sudah pun mengarahkan pihak pengurusan untuk menyatakan jumlah ’sinking fund’ April dan Mei dinyatakan di dalam invois bulan Jun.
“Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai jumlah terkini ’sinking fund’ mereka boleh layari laman web www.floradamansara.com dan tiada sebarang catatan ’sinking fund’ direkodkan sebelum pihak pengurusan baru mengambil alih pada April lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Persatuan Penduduk Apartmen Flora Damansara yang membuat laporan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna berikutan setelah timbul banyak pertikaian dengan pihak pengurusan dan juga JMC apartmen itu.
Menurutnya, jumlah terkini bayaran ’sinking fund’ ialah RM1,600 untuk April hingga Jun 2009.
“Sepatutnya kutipan bulanan untuk 2,400 unit rumah ialah RM170,000 sebulan namun kutipan penyelenggaraan hanya mencatatkan RM20,000 sebulan.
“Jumlah ini menunjukkan hampir 80 peratus penduduk gagal menjelaskan bil ini dan sejak 2004 sebanyak RM2.2 juta bil penyelenggaraan masih tidak dijelaskan,” katanya.
Beliau berkata, sebnyak 900 unit rumah mencatatkan baki tertunggak bil penyelenggaraan RM1,000 ke atas membabitkan jumlah keseluruhan RM1.8 juta.
Difahamkan, bayaran penyelenggaraan dikenakan setiap bulan berjumlah RM50 hingga RM70 untuk lima blok.
“Bayaran denda 10 peratus dikenakan jika penghuni membuat pembayaran lewat sudah diputuskan dan dipersetujui dalam mesyuarat penubuhan JMC dahulu.
“Penduduk tidak boleh mempertikaikan kerana meskipun penduduk lewat bayar, denda 10 peratus masih tidak dikenakan malah pihak JMC masih boleh bertolak ansur meskipun mempunyai kuasa di bawah Akta 663 yang menyatakan JMB mempunyai kuasa untuk menyita unit rumah yang tidak menjelaskan wang penyelenggaraan selama enam bulan,” katanya.
Mengenai bayaran bil air kata beliau, sebanyak 100 unit rumah mencatatkan baki tertunggak RM100 ke atas.
“Pihak pengurusan telah melakukan pemeriksaan dan mengganti serta menyelaraskan meter air baru penduduk,” katanya.
Beliau turut mengakui masalah kebocoran tangki utama di Block D menyebabkan bil air penduduk melambung dan kini Pama Services serta pemaju Saujana Triangle dalam proses membaik pulih kerosakan tersebut.
Katanya, penduduk yang mempunyai masalah diharap boleh datang terus ke pejabat pengurusan untuk mengadukan masalah kerana pejabat dibuka setiap Isnin hingga Jumaar dari jam 10 pagi hingga 5 petang manakala untuk Selasa dan Khamis perkhidmatan dilanjutkan dari jam 6.30 petang hingga 8.20 malam.



Further clarifications can be found here – http://maulvi.floradamansara.com/2009/07/29/education-of-the-state-of-affairs-in-flora-damansara-part-ii/